Perutusan Datuk Bandar

Tarikh kemaskini pada

Datuk Bandar MBSP
YBhg. Dato' Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
 
Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
 
Alhamdulillah dan marilah sama - sama kita memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah SWT, dengan izin dan kehendaknya, kita bakal menempuh gerbang tahun 2020 yang melabuhkan tirai 2019. Syabas dan tahniah kepada semua Ahli Majlis, warga kerja MBSP, wira orange dan semua penduduk Seberang Perai yang selama ini sentiasa menyokong dan mendokong usaha - usaha untuk menjadikan Seberang Perai bandar raya rendah karbon dan bandar raya pintar.
 
Pada tanggal 16 September 2019, Pulau Pinang menempah satu sejarah baru apabila Seberang Perai dinaik taraf menjadi bandar raya, seterusnya menjadikan Negeri Pulau Pinang satu - satunya city state di Malaysia dimana setiap inci tanahnya ditadbir oleh Bandar Raya. Kita harus berasa bangga kerana Seberang Perai adalah Bandar Raya terbesar di Malaysia, memiliki keunikan sebuah bandar raya yang didalamnya ada bandar dan desa, menjadi tempat hidupan spesis bakau jenis api - api yang tiada ditempat lain di Malaysia melainkan di kawasan paya bakau Kuala Muda, menjadi tempat persinggahan migratory birds, tempat tinggal 150 jenis spesis burung termasuk 38 spesis yang terancam yang tidak tinggal ditempat lain melainkan di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, memiliki wira orange yang sanggup mengharung lautan keperitan kerja - kerja 3D (Dirty, Difficult, Dangerous), berhujan, berpanas, dalam keadaan ribut dan taufan untuk memberi keselesaan kepada Warga Seberang Perai. Kita harus merasa bangga kerana mempunyai warga kerja dan komuniti yang inklusif, responsif dan kreatif yang membolehkan Seberang Perai merangkul (12) anugerah sepanjang tahun 2019, pemegang enam (6) Malaysia Book Of Records, melaksanakan 7 persijilan pengurusan serentak mengikut standard ISO, mencapai kadar kitar semula 47.16% yang tertinggi di Malaysia. Seberang Perai sebuah bandar raya yang ada didalamnya bandar dan desa, bangun dipersada antarabangsa berkongsi amalan baik, menerima cabaran membentang kertas kerja - kertas kerja, menjadi rujukan bandar raya - bandar raya didunia dan menduduki jawatan kuasa pengurusan badan - badan antarabangsa seperti Excutive Committee WeGO dan ICLEI Southeast Asia Regional Executive Committee (REXCOM) 2018 - 2021.
 
Pencapaian besar ini bukanlah kebetulan tetapi hasil daripada perancangan yang rapi diikuti dengan tindakan yang jitu kemudiannya mendapat restu Allah SWT Tuhan yang Maha Esa. Justeru itu marilah kita teruskan momentum ini, tidak boleh ditangguh atau dilengahkan, memandangkan kita mempunyai visi yang lebih besar untuk dicapai iaitu untuk menjadikan Seberang Perai sebuah Bandaraya Rendah Karbon (Low Carbon City) dan Bandaraya Pintar (Smart City) menjelang Tahun 2022.
 
MBSP telah menetapkan fokus untuk menjadi Bandar Raya Rendah Karbon pada tahun 2022, Bandar Raya carbon neutral pada tahun 2030, iaitu 10 tahun dari Januari 2020 dan menjadi Bandar Raya Sifar Karbon pada tahun 2050. MBSP juga komited untuk bersama - sama bandar raya - bandar raya lain di dunia untuk menangani perubahan cuaca supaya dapat menghadkan pemanasan global 1.5°C.
 
MBSP juga komited untuk menjadi Bandar Raya Pintar pada tahun 2030 sesuai dengan wawasan Penang2030. Saya memahami sasaran yang ditetapkan adalah sasaran yang tinggi untuk dicapai. Walau bagaimanapun, demi kesejahteraan rakyat, seluruh warga kerja MBSP berjanji untuk memastikan sasaran tersebut dicapai dan menjadikan ianya satu kontrak sosial yang akan dilaksanakan secara bersama dengan rakyat dan stakeholders.
 
MBSP juga sentiasa memastikan Seberang Perai Bandar Untuk Semua sebagai guiding principle pentadbiran MBSP. Melaksanakan Bajet Responsif Gender dan Partisipatori atau Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) Penang Model bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan hendaklah berorientasikan rakyat dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
 
Seberang Perai akan menjadi model localising 17 SDGs yang merupakan Agenda Baru Perbandaran atau New Urban Agenda 2030, khususnya Goals 11 iaitu “Mewujudkan Bandar dan Penempatan Manusia yang Inklusif, Selamat, Berdaya Tahan dan Lestari”.
 
Dengan status bandar raya, pelbagai perubahan juga akan dilaksanakan keatas proses dan mekanisme kerja yang lapuk, tidak efisyen dan terdapat permasalahan serta birokrasi akan ditambahbaik dan dihapuskan dengan menggunakan kreativiti dan inovasi selari dengan keadaan semasa.
 
MBSP mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan fokus diatas dengan menghasilkan Hala Tuju Strategik Seberang Perai yang Mampan dan Lestari bagi Jangka Pendek, Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang merupakan titik tolak ke arah kecemerlangan sosial, baik dari segi kebersihan, pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta kelestarian alam sekitar.
 
Perancangan dan Keutamaan tanpa budget adalah angan - angan kosong, oleh itu MBSP menzahirkan kesungguhan komitmentnya melalui budjet pertama “Seberang Perai Green Budget 2020”. Terdapat lapan (8) keutamaan teras Seberang Perai Green Budget 2020 yang akan dilaksanakan pada tahun 2020 iaitu Kebersihan dan Kehijauan RM113.58 juta; Ruangan Hijau dan Penyelenggaraan Tempat Awam RM10.8 juta; Pengangkutan dan Koridor Hijau RM9.24 juta; Penggunaan Tenaga yang Mampan RM28.89 juta; Memastikan Kemampuan Pemilikan Rumah Kediaman bagi Meningkatkan Kualiti Hidup RM4.06 juta; Ketahanan Perubahan Iklim RM13.64 juta; Kesejahteraan Kakitangan RM6.71 juta; dan Pembaharuan Institusi RM6.28 juta.
 
“Seberang Perai Green Budget 2020” merealisasikan harapan rakyat untuk menjadikan Seberang Perai Smart Sustainable City selaras dengan wawasan Penang2030 iaitu “A Family - Focused Green and Smart State That Inspires The Nation” dan seiring dengan draf dasar dan strategi Rancangan Malaysia Ke - 12 (RMK - 12) yang berasaskan kepada tiga (3) dimensi iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial. Ini adalah wang rakyat dan ini juga adalah apa yang rakyat mahukan. MBSP akan memastikan ianya dapat direalisasikan.
 
Dengan wujudnya pelan hala tuju yang komprehensif ini, pentadbiran MBSP akan berubah ke arah Amalan Terbaik Global (Global Best Practices) yang memfokuskan kepada urus tadbir yang cekap, berakauntabiliti dan mementingkan ketelusan serta responsif, melalui penyampaian perkhidmatan terbaik, efisyen dan efektif.
 
Tidak dilupakan, saya ingin memohon maaf kepada rakyat Seberang Perai kerana terpaksa menaikkan cukai taksiran selepas 15 tahun berusaha mengekalkan kadar taksiran sedia ada. Semakan senarai nilaian ini sudah tidak dapat dielakkan lagi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dipertingkatkan, merancang pertumbuhan ekonomi setempat dan menambahbaik kualiti kehidupan rakyat Seberang Perai.
 
Saya juga memahami kesusahan rakyat dengan bebanan kewangan yang tinggi untuk perbelanjaan persekolahan anak pada awal tahun dan persiapan perayaan Tahun Baru Cina, oleh itu, bil cukai taksiran untuk Penggal Pertama 2020 akan mengikut kadar sedia ada sehingga semua proses rayuan dan bantahan cukai didengari dan selesai sehingga bulan Mac 2020.
 
Keputusan bantahan akan diselaras dan bil cukai taksiran yang baharu bagi Penggal Kedua 2020 akan menunjukkan kadar cukai yang baharu yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.
 
Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah untuk semua penduduk Seberang Perai juga kakitangan Majlis Bandaraya Seberan Perai di atas pencapaian tahun 2019. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020 dan semoga tahun 2020 akan membawa lebih banyak cahaya kejayaan dan sama - sama kita mengharungi cabaran - cabaran mendatang dengan tekad dan semangat untuk kita terus berjuang menjadikan “Seberang Perai Aspiring City Of Tomorrow” atau “Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan”.
 
Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Seberang Perai
Pulau Pinang, Malaysia