Perutusan Datuk Bandar

Tarikh kemaskini pada

Perutusan Tahun Baru 2021
YBhg. Dato' Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar Seberang Perai
 
Waktu terus berlalu, lembaran demi lembaran telah kita lalui sepanjang tahun 2020. Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh cabaran di mana dunia telah digemparkan dengan isu Pandemik Covid 19 dan Malaysia tidak terkecuali. Alhamdulillah bersyukur ke hadirat ilahi, kerana dengan limpah kurnianya, kita masih bersama meneruskan satu perjuangan dan tanggungjawab yang belum selesai bagi memakmurkan bumi Seberang Perai.
 
Pada 16 September yang lalu, Seberang Perai meraikan sambutan setahun bandaraya dengan pencapaian yang amat memberangsangkan dimana MBSP telah mengumumkan Pelan Pasca Pemulihan Ekonomi bagi memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi tempatan yang lebih progresif, menyisih prosedur - prosedur yang lapok, memendekkan proses kerja untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, merancakkan ekonomi bandar dan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk Seberang Perai agar ekonomi Seberang Perai bangkit semula daripada kesan pandemik Covid 19.
 
Kita buka lembaran baru bagi tahun 2021 dengan penuh semangat dan iltizam untuk memastikan pematuhan SOP Covid 19 di kalangan masyarakat dikekalkan pada tahap 99%. Penekanan dan pembangunan ekonomi di Seberang Perai akan ditumpukan kepada Digital Economy dan Circular Economy yang lebih resilient terutama di era pandemik Covid 19 ini. MBSP juga akan terus memperkenalkan pakej - pakej rangsangan ekonomi bagi membantu semua lapisan masyarakat dikalangan B40, M40 dan T20 atau peniaga - peniaga kecil, pemaju, pengilang dan pelabur.
 
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada wira barisan hadapan kita, wira oren MBSP, agensi swasta dan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia yang bersama - sama mengharungi cabaran Covid 19 ketika ini. Kita masih belum menang dan kita perlu teruskan perjuangan kita sebagai satu pasukan dan meletakkan kehendak warga Seberang Perai di hadapan. Dengan pendekatan kerjasama strategik atau 7Ps (People, Private, Philanthrophy, Philosopher, Planet dan Partnership), saya berharap dan berdoa agar cabaran Pandemik Covid 19 ini dapat diatasi dan MBSP akan terus cemerlang memberikan perkhimatan yang terbaik untuk rakyat. Tahun baru bererti cabaran baru, tujuan baru serta masa depan baru.
 
Selamat Tahun Baru 2021.
 
 
Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Seberang Perai
Pulau Pinang, Malaysia