UUK Pengasingan Sampah Dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MPSP) 2016

Undang - Undang Kecil ini digubal :

i. untuk mengawalselia pengurusan pengasingan sampah dari punca dan pembersihan awam.

ii. untuk menggalakkan dan memudahkan kitar semula dilaksanakan semaksimum mungkin di pihak isi rumah, perniagaan, kompleks komersial, industri dan institusi di dalam negeri Pulau Pinang.

iii. untuk melaksanakan dan menguatkuasakan amalan dan prosedur yang berkaitan dengan kitar semula untuk diberikan kepada semua penjana sisa, syarikat pengangkutan sisa, syarikat pengumpul kitar semula yang terletak di dalam kawasan perbandaran.

“Badan pengurusan bersama” ertinya badan yang ditubuhkan di bawah seksyen 17 Akta Pengurusan Strata2013 [akta 757], termasuklah :

(a) perbadanan pengurusan yang wujud di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318];

(b) mana - mana ejen atau pekhidmat yang dilantik oleh perbadanan pengurusan itu atau mana - mana orang yang mempunyai kawalan ke atas bangunan yang dipecah bahagi itu; atau

(c) mana - mana orang, badan atau pentadbir yang dilantik menurut Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] untuk menjalankan kuasa, atau menjalankan kuasa bagi perbadanan pengurusan tersebut.

“Kemudahan pengurusan sampah yang boleh dikitar semula” ertinya mana - mana tapak, tong, bekas atau kemudahan lain yang digunakan bagi maksud mengendalikan, menstor, mengasingkan, memindahkan dan memproses sampah yang boleh dikitar semula.

“Sampah baki” ertinya apa - apa sampah terkawal yang tidak sesuai untuk dikitar semula atau diguna semula dan termasuk sisa makanan dan sisa kotor.

Saya perlu mengasingkan sisa pepejal adalah untuk :

i. Mengelakkan pembuangan bahan yang boleh dikitar semula;

ii. Mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan;

iii. Mengurangkan peruntukan wang Majlis untuk proses pelupusan sisa pepejal

Badan pengurusan bersama bertanggungjawab untuk :

(a) memberitahu pemunya atau penghuni tentang keperluan pematuhan Undang - Undang Kecil ini, garis panduan atau apa - apa arahan yang ditetapkan oleh MBSP dari semasa ke semasa;

(b) memastikan pemunya atau penghuni membuang :

     (i) sampah yang boleh dikitar semula di dalam kemudahan pengurusan sampah yang boleh dikitar semula; dan

     (ii) sampah baki ke dalam bekas sampah komunal yang disediakan; dan

(c) memastikan pemunya atau penghuni menguruskan sampah yang boleh dikitar semula dan sampah baki mengikut cara sebagaimana yang ditetapkan oleh MBSP.

Mana - mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi mana - mana peruntukan Undang - Undang Kecil ini atau syarat atau sekatan lesen adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 atau dipenjara tidak lebih satu tahun, atau kedua - duanya sekali.