UUK Vandalisme (MPSP) 1993

Di bawah Undang - Undang Kecil Vandalisme (MPSP) 1993, ia menjelaskan mengenai kuasa yang diperuntukkan kepada Majlis untuk mengambil tindakan penguatkuasaan atau tindakan pendakwaan terhadap mana - mana orang yang kesalahan di bawah Undang - Undang Kecil ini.

Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi. Definisi vandalisme adalah membuat sebarang perubahan seperi melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Harta Majlis” ertinya apa - apa harta alih atau tidak alih yang dipunyai, dibina, diuruskan, disewa atau diselenggarakan oleh Majlis yang terletak atau yang ada di dalam, di bawah atau di atas mana - mana tempat awam atau persendirian di dalam kawasan Majlis dan apa - apa harta mana - mana pihak atau orang yang berkontrak dengan Majlis yang digunakan bagi maksud memenuhi atau melaksanakan kontrak itu dan termasuklah apa - apa kerja yang dijalankan oleh Majlis dan mana - mana binatang, pokok, tumbuh-tumbuhan, rumput, sungai, tasik dan anak sungai yang di bawah penjagaan dan kawalan Majlis.

Kesalahan - kesalahan berikut dikategorikan sebagai vandalisme sekiranya tidak mendapat kebenaran secara bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan iaitu:-

(a) menulis, melukis, mengecat, menyembur, menanda, mencakar, mencalar, atau mengukir apa - apa perkataan, slogan, karikatur, simbol atau apa - apa jua pun di atas harta Majlis;
(b) memasang,melekatkan, menampalkan, menunjukkan atau mempamerkan apa - apa poster, pelekat, iklan, surat tempelan, peringatan, kertas atau apa - apa dokumen di atas harta Majlis;
(c) menggantung, menyangkut, menaikkan, melekatkan atau mempamerkan apa - apa bendera, panji-panji hiasan, panji-panji bendera, sepanduk atau yang menyerupainya dengan sesuatu slogan, karikatur, lukisan, simbol atau apa - apa perkataan lain di atas harta Majlis;
(d) memakukan, mengikat, menyimpul, atau merantai apa - apa benda ke atas harta Majlis;
(e) mencuri, mengalih, menggangu, mengusik, memindah, mencacatkan, merosakkan atau memusnahkan apa - apa harta Majlis;
(f) membuat apa - apa ubahan kepada apa - apa harta Majlis;
(g) mengalih, memindah, mengusik, mencacatkan, merosakkan atau memusnahkan apa - apa jua yang dipertunjukkan, digantung, didirikan, dilekatkan, dinaikkan atau disangkutkan oleh Majlis;
(h) meludah, kencing atau membuang air besar di dalam atau di atas mana - mana harta Majlis kecuali di tempat yang telah disediakan bagi maksud itu;
(i) mengotorkan atau mencemarkanair di mana - mana pancutan air, kolam renang, sungai, tasik atau anak sungai yang di bawah penjagaan dan kawalan Majlis;
(j) memotong, menggali, mengalih, memetik, membantun, merosakkan atau memusnahkan mana - mana pokok, tumbuh-tumbuhan, bunga, daun atau dahan mana - mana pokok atau tumbuh-tumbuhan, atau rumput yang di bawah penjagaan dan kawalan Majlis;
(k) mengorek atau mengalih tanah dari mana - mana harta Majlis;
(l) memerangkap, menangkap, mendera, membunuh, memberi makan atau mengganggu mana - mana binatang kepunyaan Majlis atau yang di bawah penjagaan dan kawalan Majlis;
(m) menunggang, memandu, menolak atau menarik apa - apa kenderaan sama ada yang digerakkan secara mekanikal atau selainnya atau meluncur dengan skate di atas mana - mana harta Majlis yang bukan dibenarkan bagi maksud itu, atau
(n) melakukan apa - apa perbuatan yang boleh menyebabkan kerosakan kepada harta Majlis.

Tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil adalah seperti berikut:-
a) menyita atau mengalihkan apa - apa benda yang didapati tergantung, dinaikkan, ditampal, diikat, disimpul, dirantai, dipakukan, dilekatkan,disangkut, dipamerkan atau dipertunjukkan di atas mana - mana harta Majlis berlanggaran dengan mana - mana peruntukan Undang - Undang Kecil ini; atau
b) memadam apa - apa tulisan, gambar, lukisan, tanda, cakaran, calar atau ukiran yang dibuat oleh mana - mana orang berlanggaran dengan mana - mana peruntukan Undang - Undang Kecil ini.

Orang ramai yang melakukan perbuatan vandalisme di kawasan pentadbiran MBSP boleh dikenakan tindakan di bawah Undang - Undang Kecil Vandalisme (MBSP) 1993 di mana berdasarkan undang-undang tersebut, jika sabit kesalahan, pelaku vandalisme akan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi kesalahan yang berterusan, pelaku akan dikenakan denda tidak melebihi RM200.00 bagi setiap hari kesalahan tersebut dilakukan.