Perutusan Pengerusi PUSPANITA MBSP
YBhg. Datin Hajah Che Limah Binti Haji Ujang

Pengerusi Puspanita

Starter
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera. Alhamdulillah bersyukur dan merafakkan ucapan setinggi harapan serta doa ke hadrat Allah SWT kerana dengan taufik, hidayah dan perkenan-Nya dapat saya bersama-sama ahli-ahli Persatuan Suri Dan Anggota Perkhidmatan Awam Wanita (PUSPANITA) Majlis Bandaraya Seberang Perai. Keperluan berpersatuan adalah selari dengan kehendak Pengurusan Atasan MBSP untuk melihat lebih ramai kaum wanita bangkit mengorak langkah menerajui tampuk pentadbiran. Perkongsian ilmu dan penglibatan semua ahli, cetusan idea yang kreatif dan inovatif, serta semangat berpasukan yang tinggi yang ditonjolkan oleh ahli-ahli PUSPANITA MBSP sememangnya menjadi aset utama untuk menyemarakkan hubungan muhibah dan menyatupadukan semua pihak.
   
Sukacita dengan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada ahli-ahli PUSPANITA MBSP kerana bersama-sama saya membangunkan laman web rasmi PUSPANITA MBSP yang pastinya mampu untuk membawa wadah baru dalam penyebaran maklumat yang berguna kepada semua ahli. Dalam era informasi dan teknologi maklumat serta dunia tanpa sempadan masa kini, PUSPANITA MBSP adalah seiring dengan kemajuan Industrial Revolution 4.0 dan kepesatan pembangunan teknologi ICT sebagai platform utama untuk membolehkan ahli-ahli PUSPANITA di seluruh pelusok negara mencapai maklumat mengenai program dan aktiviti PUSPANITA MBSP dalam masa yang singkat. Laman Web adalah medan rujukan utama bagi ahli-ahli berkaitan aktiviti dan hal-hal berkaitan PUSPANITA MBSP.
   
Dengan penuh komitmen dan segala kerjasama yang diberikan oleh semua Ahli-Ahli pastinya PUSPANITA MBSP terus bergerak dengan jayanya. Saya berharap segala cadangan, pandangan dan sumbangan daripada ahli-ahli PUSPANITA Majlis Bandaraya Seberang Perai akan berterusan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berimpak tinggi selaras dengan keprihatinan dan kebajikan wanita sentiasa diberi keutamaan demi mencapai keunggulan berpersatuan.
   
Akhir kata, saya menyeru kepada semua supaya bersama-sama memainkan peranan dalam menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara selaras dengan slogan "Wanita Sepakat Negara Meningkat".
   
Sekian, terima kasih.contoh
   
“WANITA SEPAKAT NEGARA MENINGKAT”
“PUSPANITA MBSP – DINAMIK DAN CEMERLANG”
   
YBhg. Datin Hajah Che Limah Binti Haji Ujang
Pengerusi PUSPANITA
Majlis Bandaraya Seberang Perai