By - Laws : UUK Kerja Tanah (MPSP) 1992

Di bawah Undang - Undang Kecil Kerja Tanah (MPSP) 1992, ia menjelaskan mengenai kuasa yang diperuntukkan kepada Majlis, fi yang dikenakan dan tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil termasuk tindakan pendakwaan terhadap kesalahan-kesalahan di bawah Undang - Undang Kecil ini.

UUK ini digubal untuk mengawal segala aktiviti berkaitan aktiviti kerja tanah dalam kawasan Majlis. Ia bagi memastikan semua kerja tanah yang dilakukan mempunyai permit kerja dan kelulusan disamping menjelaskan tentang tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil termasuk tindakan pendakwaan terhadap kesalahan - kesalahan di bawah Undang - Undang Kecil ini.

“Kerja tanah” termasuklah apa - apa perbuatan mengorek, merata, menimbus dengan apa - apa bahan, menanam cerucuk, membina asas atau menebang pokok atas mana - mana tanah atau apa - apa perbuatan lain yang menyentuh atau mengganggu mana - mana tanah.

Pemohon perlulah mengemukakan pelan - pelan berhubung dengan kerja tanah sepertimana yang dinyatakan di bawah seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bersama dengan borang permohonan dalam Borang A Jadual Ketiga dan membayar fi seperti yang ditetapkan dalam Jadual Pertama.

Ya, Undang - Undang Kecil Kerja Tanah (MPSP) 1992 ini terpakai bagi semua kerja tanah kecuali :

(a) kerja tanah yang dijalankan di bawah mana - mana undang - undang bertulis berhubung dengan lombong;
(b) kerja tanah yang dijalankan bagi maksud-maksud pertanian;
(c) kerja tanah kecil seperti yang ditentukan dalam Jadual Kedua; atau
(d) kerja tanah yang dimulakan atau dijalankan oleh atau bagi pihak Kerajaan Malaysia atau sesuatu Kerajaan Negeri.

Kesalahan - kesalahan yang sering dilakukan di bawah Undang - Undang Kecil ini adalah seperti berikut :

i. mengemukakan pelan, spesifikasi, kiraan atau butiran yang palsu atau memberikan perakuan yang dikehendaki di bawah Jadual Kedua secara palsu;
ii. tanpa sebab yang munasabah tidak mematuhi apa - apa arahan, pindaan atau syarat yang diberi atau dikenakan di bawah Undang - Undang Kecil ini;
iii. tanpa sebab yang munasabah tidak memberi notis yang dikehendaki di bawah Undang - Undang Kecil 4(4) dan 4(5); atau
iv. melanggar apa - apa peruntukan Undang - Undang Kecil ini.

Jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada dua ribu ringgit dan denda tambahan tidak lebih daripada satu ratus ringgit bagi tiap - tiap hari kesalahan ini diteruskan selepas disabitkan.